Langkah terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperluaskan penguatkuasaan merangkumi ruang maya Internet hari ini menerima bantahan keras daripada golongan pendukung kebebasan media.
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyuarakan rasa bimbang dan kesal dengan tindakan KDN yang ingin meminda Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 (PPPA) untuk terus mengawal kebebasan media di negara ini.
Presidennya, Hata Wahari berkata ia satu "usaha ke kebelakang" yang akan menghalang aliran maklumat kepada masyarakat dan seterusnya memundurkan Malaysia.
Beliau mengulas tindakan KDN untuk
meminda akta tersebut supaya meliputi media dalam talian dan juga pengenalan satu
garis panduan baru berkaitan kesalahan hasutan di ruang maya Internet.
"Sehubungan itu NUJ Malaysia meminta KDN agar menghentikan segala usaha untuk meminda PPPA bagi tujuan mengawal kandungan Internet termasuk laman berita, blog dan Facebook.
"Sebaliknya NUJ Malaysia menuntut agar KDN melakukan pindaan bagi memberikan kebebasan kepada media cetak untuk beroperasi dengan lebih bebas," kata Hata lagi dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga perlu menghapuskan ketetapan kepada pengusaha media supaya memperbaharui permit akhbar setiap tahun dan memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menerbitkan akhbar berkenaan tanpa permit KDN.
'Bantahan akan lebih meluas'
Sementara itu, seorang lagi pengamal media yang sering berdepan dengan undang-undang PPPA pula memberi peringatan kepada kerajaan bahawa beliau menjangkakan bantahan yang lebih meluas akan timbul, susulan daripada langkah penguatkuasaan baru itu.
Ketua pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman menjelaskan, peruntukan PPPA sedia ada sudahpun cukup mengekang pengusaha dan pengamal media tradisional.
Sebaliknya, penguatkuasaan ke atas laman sosial seperti
Facebookakan bersifat lebih meluas kerana ia melibatkan rakyat biasa yang tidak berkepentingan politik.Katanya, golongan yang telah mengusahakan laman web juga akan berasa marah apabila terpaksa mendapatkan permit penerbitan untuk mengendalikan laman web.
"Orang di dunia siber mudah untuk beroperasi sendiri, tiba-tiba mereka disekat, jadi saya rasa bantahan akan lebih meluas.
"Saya rasa kerajaan tidak akan dapat menduga sejauh mana bantahan ini. Saya optimis kalau kerajaan meneruskan tindakan ini, mereka akan terima bahana yang cukup teruk.
"Ini bukan lagi membabitkan sekelompok usahawan atau golongan yang ada kepentingan politik tertentu tapi membabitkan rakyat yang lebih luas," katanya lagi.
'Sikap bacul kerajaan'
Tambahnya, beliau juga akan bekerjasama dengan NGO yang mendukung kebebasan media, termasuk NUJ Malaysia untuk mendapatkan sokongan masyarakat bagi membantah tindakan kerajaan itu.
Beliau turut menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan peruntukan baru seperti itu sebagai "sikap bacul kerajaan" untuk berhadapan dengan realiti politik semasa.
Jelasnya, pada waktu ini laman web dan blog dikendalikan oleh golongan yang umumnya mempunyai asas penulisan.
"Tapi laman sosial seperti Facebook dan Twitter sudah jadi proses pendemokrasian yang terbuka dan merakyatkan.
"Adakah kerajaan takut kepada suara rakyat yang kebanyakannya tidak ada motif politik untuk naikkan orang-orang tertentu?," katanya lagi.
Ahmad Lutfi juga menyifatkan pengenalan undang-undang dan garis panduan baru itu sebagai "langkah tergesa-gesa" BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Tambahnya, beliau melihat langkah itu "sarat dengan motif politik BN untuk mengekang pengaruh dan momentum Pakatan Rakyat."
BN sepatutnya mengambil sikap yang lebih terbuka, sesuai dengan suasana dunia maya yang "cukup demokratik," katanya lagi.
"Siapa saja boleh hasilkan blog, jadi sepatutnya BN sendiri boleh menampilkan media (Internet) yang lebih berwibawa dan berpengaruh, bukan dengan menghalang (media pro-Pakatan Rakyat)," tambahnya.
Janji Dr M
Sementara itu, seorang lagi pengamal media yang juga penulis blog popular Datuk Ahirudin Attan berkata, tindakan kerajaan itu bertentangan dengan janji oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menapis media dalam talian.
Tambahnya, beliau memahami langkah kerajaan untuk memperketat kawalan ke atas media berkenaan disebabkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakannya.
Namun, langkah memperluas definisi 'penerbitan' untuk merangkumi kandungan dalam talian itu merupakan satu tindakan yang "bercita-cita terlalu tinggi," kata penasihat Redberry Media Group itu lagi.
Sebagai seorang wartawan dan juga seorang pengarang, beliau turut menasihati ketua setiausaha KDN supaya bertindak lebih berhati-hati dalam menangani media.
Sementara itu, pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula memerhatikan, kerajaan sebelum ini telah berkali-kali menyatakan hasrat untuk "menyekat Internet," terutama selepas kemenangan besar Pakatan pada pilihan raya umum 2008.
Cadangan 'Green Dam'
Katanya, tindakan itu juga bertentangan dengan jaminan kerajaan untuk tidak menyekat Internet melalui Rang Jaminan MSC Malaysia.
"Contohnya pada tahun 2009, Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan rancangan untuk sebuah sistem tapisan Internet, seperti perisian 'Green Dam' di China, tetapi membatalkanya selepas tentangan daripada rakyat.
"Pengumuman terbaru ini membuktikan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak putus asa dalam usaha mereka untuk menyekat hak asasi dan kebebasan politik di Malaysia.
"Di sebalik manipulasi dan kempen kerajaan, pengumuman terbaru ini membuktikan BN masih lagi terperangkap di dalam politik lama untuk mengawal dan menekan rakyat," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini.
ADUN Seri Setia itu juga berkata, kerajaan sebelum ini juga telah bertindak mengenakan tekanan ke atas pengamal media Internet.
"(Ini) termasuk penangkapan blogger, serbuan polis ke atas Malaysiakini pada tahun 2003 dan penutupan Malaysia Today," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment