KLIK SINI



Bakers1171 - Homemade & Halal


Saturday, November 28, 2009

KEBESARAN AL-QURAN

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَا إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَلَا إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ فَقُلْتُ مَا الْمَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ نَبَأُ مَا قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ وَهُوَ الْفَصْلُ لَيْسَ بِالْهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّارٍ قَصَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ ابْتَغَى الْهُدَى فِي غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللَّهُ وَهُوَ حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ هُوَ الَّذِي لَا تَزِيغُ بِهِ الْأَهْوَاءُ وَلَا تَلْتَبِسُ بِهِ الْأَلْسِنَةُ وَلَا يَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلَقُ عَلَى كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِي لَمْ تَنْتَهِ الْجِنُّ إِذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَمَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَمَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَمَنْ دَعَا إِلَيْهِ هَدَى إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ. ( الترمذي والدارمي )

Dari Ali, ra., katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w., bersabda: "Awaslah, sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: "Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?

" Baginda menjawab: "(Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat - yang terdahulu dari kamu dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu (kitab Allah al-Qur'an) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah) bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus).

Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan.

Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Qur'an yang - menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakan sesuatu dengan berdasarkan kitab itu, benarlah perkataannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus."
(Tirmizi dan Darimi)

Friday, November 27, 2009

QURBAN

Maksud Hadith;“Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati”.

Wednesday, November 25, 2009

YA ALLAH SATUKAN HATI KAMI UMATMU DIAKHIR ZAMAN

Umat islam di malaysia pada hari ini makin hanyut dibuai mimpi dan impian masing-masing,pertelingkahan,tuduh menuduh dalam perkara-perkara kecil menjadi satu isu utama umat islam masa kini.Timbul bermacam-macam pertikaian tentang perkara-perkara ranting berbanding perkara pokok.Isu talkin,membaca yasin pada malam jumaat dan banyak lagi memonopoli pemikiran umat islam berbanding isu merokok yang ternyata fatwanya haram bukan saja di Malaysia tetapi diseluruh dunia tetapi kita masih melihat ramai umat islam masih merokok.Banyak lagi perkara pokok yang kita terlepas pandang atau sengaja membutakan mata hati.Renungkanlah..

Pesanan terakhir Rasulallah(Khutbah terakhir) sabda Baginda antaranya;

'Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil."


Dalam surah Al-Israa' Allah s.w.t berfirman,maksudnya;

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya". Surah Al-Israa' ;84

Setiap amalan kita yang ikhlas,amalan yang baik,kerana inginkan keredhaan Allah,janganlah kita ragu-ragu mengenainya.Allah maha adil lagi bijaksana.Kita hanyalah hambaNya yang mengabdikan diri padaNya.

Monday, November 23, 2009

HALAL DAN HARAM(ALLAH MAHA PENGAMPUN)

Firman Allah dalam surah Al Maaidah:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu.

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (SURAH ALMAAIDAH:3)

Sunday, November 22, 2009

Wednesday, November 18, 2009

PERISTIWA DALAM BULAN ISLAM

1. Muharram (29 hari)
1 Muharram - Awal hijrah
10 Muharram - Hari Asyura
Hari kematian saidina Hussain bin Ali cucu Rasulullah s.a.w.

2. Safar (29 hari)

3. Rabi'ul Awwal (29 hari)
1 Rabi'ul awwal – Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul
2,3&4 Rabi'ul awwal – Rasulullah bersembunyi di gua Hira'
8 Rabi'ul awwal – Pembinaan masjid quba'(masjid pertama dalam sejarah islam)
12 Rabi'ul awwal – Hari keputeraan Baginda Rasul.
12 Rabi'ul awwal – Hari kewafatan Baginda Rasul.

4. Rabi'ul Akhir (30 hari)
Berlaku perang Jamal, perang saudara pertama dalam islam

5. Jamadil Awal (29 hari)
8 Jamadil awal – Hari kelahiran Saidina Ali bin Abi talib

6. Jamadil Akhir (30 hari)
8 Jamadil akhir – Saidina Umar di lantik menjadi khalifah kedua.
20 Jamadil akhir – Tarikh kelahiran Siti Fatimah.
28 Jamadil akhir – Wafatnya Saidina Abu Bakar

7. Rejab (30 hari)
26-27 Rejab – Israk Mikraj

8. Sya'ban (30 hari)
14 Sya’ban – Malam Nisfu Sya’ban
15 Sya’ban – Pertukaran Kiblat dari Masjid Al-aqsa ke Kaabah Masjidul Haram

9. Ramadhan (29/30 hari)
8 Ramadhan Tahun 2 – Perang Badar
10 Ramadhan Tahun Ke 10 – Pembukaan Makkah
17 Ramadhan – Ayat Quran pertama turun di Gua Hira’
17 Ramadhan tahun ke 40 – Pembunuhan Saidina Ali di Kufah

10. Syawal (29 hari)
1 Syawal – Hari Raya Aidil Fitri
5 Syawal Tahun Ke 5 – Perang Uhud

11. Zulkaedah (30 hari)
Berlakunya Haji Wida’ Rasulullah bersama 100,000 orang rombongan

12. Zulhijjah (30 hari)
8 Zulhijjah – Hari Wida’ Nabi yang terakhir
Akhir Zulhijjah 23H – Saidina Omar mati dibunuh
18 Zulhijjah 23H – Saidina Othman mati dibunuh
27 Zulhijjah 132H – Jatuhnya kerajaan Bani Umaiyyah.

Tuesday, November 17, 2009

HUDUD ALLAH(HUDUDULLAH)

Kita mengaku islam,menunaikan rukun islam,tapi kita menolak hukum Allah.Kita ingkar dalam kesyukuran.Firman Allah maksudnya dalam surah Al Maaidah;

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
"Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
"Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."SURAH AL MAAIDAH:38:39:40


Dalam situasi sekarang di Malaysia,dimana kadar jenayahnya semakin meningkat,pihak kerajaan harus mengorak langkah yang berani untuk menegakkan hudud Allah.Rata-rata rakyat Malaysia dimomokkan oleh media arus perdana tentang kononnya hudud Allah ini tidak adil,tidak berperikemanusiaan(kononnya tidak sesuai dengan hak asasi manusia).Soalan untuk golongan anti hudud Allah khususnya yang mengaku dirinya islam yang begitu lantang mempertikaikan hukum hudud Allah.

Tidak sedarkah mereka bahawa kita ini milik Allah,Allah yang mencipta kita.Jika kita gunakan perumpamaan mudah.Seorang jurutera pakar,telah mencipta sebuah kapal selam perang.Jurutera pakar ini lebih tau tentang ciptaannya,kelemahan ciptaannya dan kekuatan ciptaannya berbanding kita yang tidak memiliki ilmu kejuruteraan kapal selam perang.Bayangkanlah pula ilmu Allah,umpama lautan luas,kita hanya mampu perolehi apa yang tinggal di sebatang pen apabila decelup didalam lautan luas itu.

Sama-samalah kita fikirkan,jika kita telah melengkapkan lima rukun islam kita,adakah kita masih mahu menafikan dan mempertikaikan hukum Allah ini.

6 PERKARA YANG DISEMBUNYIKAN ALLAH

1.Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

2. Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

3.Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

4.Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

5.Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

6.Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

DOA SAYIDINA UMAR AL-KHATTAB

Sayidina Umar al-Khattab berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud “ Allahuma wahai Tuhanku, tolong jadikan harta kekayaan berada di tangan orang yang baik-baik, mudah-mudahan harta itu akan beredar kepada orang msikin yang berhajat.”

Sunday, November 15, 2009

ZULKAEDAH -BULAN KELAHIRANKU

Zul ertinya "yang empunya". Qa'dah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat.

Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang.
Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram ( bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ).

Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya.
Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.

Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.

PERISTIWA BERSEJARAH DALAM BULAN ZULKAEDAH

1. Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah.
Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

2. Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.
Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.

Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

3. Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.
Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".

Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy.
Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".
Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

4. Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.
Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.
Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

Friday, November 13, 2009

KASIHNYA ALLAH PADA UMAT MUHAMMAD YANG BERSOLAT

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Setelah Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata: “Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?.” Lalu Allah berfirman yang bermaksud.. “Tidak”

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya ‘Muhammad.’ Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.”

Kemudian Jibrail as berkata: “Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?”

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal… ” Kemudian Jibrail as meminta izin keada Allah untuk melihat syura Ma’waa.

Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud: “Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?”

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. “Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan… ..”

TANDA-TANDA MENGENAL KEIKHLASAN HATI

Adakah benar kita ini ikhlas?

1. Kita takutkan sanjungan dan pujian manusia.
2. Kita tidak berasa hati apabila usaha dikritik oleh manusia.
3. Kita tidak berasa bangga bila dipuji.
4. Kita sentiasa menganggap diri cuai dalam ibadah akibat sikap taajub akan diri sendiri.
5. Tidak malas, lembab dan ketinggalan dalam kesusahan.
6. Tidak jemu dalam berusaha mengajak orang kepada Islam.
7. Tidak menjauhkan diri dari jemaah walau dicaci manusia.
8. Di dalam organisasi/jemaah, tidak teringin menjadi ketua tetapi tetap bekerja dan menyumbang.
9. Menjadi pemimpin atau pengikut, mana satu tidak menjadi hal.
10. Tidak marah malah gembira, bila muncul seorang yang baru menjadi ketua (namun bukan bermaksud tanggungjawabnya sendiri berkurang, kerana amanah bukan dari manusia tetapi dari Allah)

DOA RASULULLAH SELEPAS SOLAT DHUHA

Ya Allah wahai Tuhanku, sekiranya rezekiku berada di langit maka turunkanlah, sekiranya di perut bumi keluarkanlah, sekiranya berada di dasar lautan timbulkanlah, jika sedikit maka perbanyakkanlah, seandainya telah banyak maka permudahkanlah dan berilah keberkatan di dalam rezeki tersebut.”

Thursday, November 12, 2009

BERPUASA PADA HARI ARAFAH

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang."

10 Zulhijjah bakal menggamit lagi menandakan ketibaan Eidil Adha bersama dengan laungan tahmid memuji Allah di atas segala nikmat kurniaannya termasuk nikmat berhari raya. Kemeriahan Eidil Adha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di Mekah sama-sama menunaikan puasa sunat hari Arafah.

Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan minum.

Wednesday, November 11, 2009

HIBURAN DALAM ISLAM

Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat,tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;

b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

c) Pancaragam yang melalaikan maka hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Monday, November 9, 2009

PUASA SUNAT ISNIN DAN KHAMIS

Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.'anhuma, beliau berkata:

" Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. selalu berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Lalu saya berkata:" Wahai Rasulullah s.a.w. kenapakah Tuan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis?" Baginda s.a.w. bersabda:" Sesungguhnya segala amalan dibentangkan (kepada Allah Ta'ala) pada hari Isnin dan Khamis".

Sunday, November 8, 2009

Pesanan terakhir Rasulullah (Isi khutbah terakhir Rasulullah)

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Friday, November 6, 2009

SHIEKH ABDULLAH FAHIM

Abdullah Fahim atau nama penuh beliau Tuan Guru Haji Abdullah bin Ibrahim bin Haji Abdullah merupakan datuk Mantan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dan bapa kepada Haji Ahmad Badawi. Beliau merupakan seorang cendekiawan Islam dan juga ahli astronomi (falak).

Terdapat dua cerita tentang asal usul Abdullah Fahim. Ada yang berkata beliau dilahirkan di Kampung Sha'ab Ali yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram di Makkah pada 1870. Terdapat juga pihak yang mengatakan bahawa Abdullah Kampung Kubur Panjang, Kedah sebelum berpindah ke Makkah dengan bapanya Sheikh Ibrahim Tahir, seorang ustaz di Masjidil Haram.

Di situlah beliau mendapat pendidikannya dalam bidang Islam.Apabila dewasa, beliau mengajar astronomi, usuluddin, ilmu al-Quran dan Hadith.Apabila pulang ke Tanah Melayu pada 1916, Abdullah Fahim mengajar ilmu teologi Islam di rumahnya di Kepala Batas dan Pondok Tuan Haji Wan Sulaiman Wan Sidik, Alor Setar. Beliau dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi pengetua Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kual Kangsar pada 1931.

Abdullah Fahim menjadi terkenal sebagai ulama masyhur di serantau pada masa itu. Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin Melayu lain sering mendapat nasihatnya dalam usaha mereka mendapat kemerdekaan. Beliaulah yang menasihati Tunku supaya bekerjasama dengan pemimpin kaum lain supaya penjajah British bersetuju memberi kemerdekaan. Abdullah Fahim juga mencadangkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan selepas membuat pengiraan hisab berdasarkan takwim Hijrah.

Beliau kembali ke rahmatullah pada 28 April 1961 sewaktu berusia 91 tahun. AL FATIHAH.

HUKUM ORANG KAFIR MASUK MASJID

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"(surah at-taubah :28)

Di dalam mazhab asy-Syafie orang kafir haram dan ditegah sama sekali daripada masuk Masjidil Haram sebagaimana firman Allah swt di dalam surah at-Taubah : 28
Di dalam kitab I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid karangan Muhammad Abdullah az-Zarkasyi ada dibahaskan tentang hukum orang musyrik masuk ke masjid selain Masjidil Haram.
Menurut kitab tersebut, orang kafir dibolehkan masuk ke dalam masjid dan diam di dalamnya, sekalipun dia di dalam keadaan junub.

Ini berdasarkan hadith Baginda saw yang menjelaskan bahawa pada zaman Baginda saw orang-orang kafir masuk ke dalam masjid Baginda yang tidak diragukan lagi bahawa mereka itu dalam keadaan berjunub. (I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid : 318 ) .Sebab keharusan ini kerana mereka beriktiqad bahawa tidak haram hukumnya ke atas mereka masuk ke dalam masjid dalam keadaan berhadas besar.Berlainan pula halnya dengan orang Islam, mereka ditegah masuk atau berada di dalam masjid dalam keadaan berhadas besar atau berjunub sebagaimana menurut ketentuan syarak terhadap mereka. Keharusan orang kafir masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram berdasarkan hadith Baginda saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ( yang bermaksud ) : "Rasulullah saw telah mengutus pasukan berkuda ke Najd. Kemudian mereka datang kembali dengan membawa seorang ( tawanan ) lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsauban bin Utsal lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid.
( HR al-Bukhari ) Imam ar-Rafie dan Imam an-Nawawi rahimahumallah berpendapat secara mutlak membolehkan orang kafir memasuki masjid selain Masjidil Haram tetapi dengan mendapat keizinan orang Islam.

Sementara itu, orang Islam yang memberi kebenaran kepada mereka untuk masuk itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Daripada penjelasan para ulama’ Syafiiyyah di atas, jelas bahawa orang kafir adalah dibolehkan masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram apabila telah memenuhi syarat-syarat yang telah dijelaskan.

Untuk ini, pihak masjid memang perlu membuat peraturan sesuai dengan kehormatan dan kesucian masjid, umpamanya dimestikan memakai pakaian yang sopan atau menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa-masa yang sesuai dan lain-lain peraturan yang munasabah.

Wednesday, November 4, 2009

IMAN UMAT AKHIR ZAMAN

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan Hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Surah Al-Anfal, 8:2)

Diriwayatkan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab yang terkenal dengan cengenya(garangnya) dan tegasnya dalm segala hal, bilamana mendengar ayat Al-Quran surah Al-Tur yang menyentuh tentang azab Allah SWT yang tiada siapa mampu menahannya, dibaca pula oleh Rasulullah SAW, gementarlah tubuhnya yang sasa, jadi loy (longlai) letih seluruh sendi pada badannya dan nyaris dia jatuh ke tanah kalau tak kerana dia bersandar ke dinding. Segera dia pulang ke rumah, terus jatuh sakit sehingga diriwayatkan hampir sebulan dia tak keluaq rumah, sampai ramai sahabat datang melawat.

Tu dia! Sapa la kita kalau nak dibandingkan dengan Sayyidina Umar al-Khattab. Dia baca dan dengaq Al-Quran jadi longlai. Kita pulak macam mana. Bukan saja bila dengaq Al-Quran tak jadi longlai dan gementar hati macam nak pecah, tapi lebih teruk lagi bila hilang rasa hormat kita dengan Al-Quran. Takabbur dengan ajaran Al-Quran. Rasa diri dah pandai, Al-Quran tak sesuai. Dah la tu, boleh pulak dok permain-main dengan ayat Al-Quran, salah guna , salah tafsir ayat-ayat Al-Quran. Ni lagi teruk. Menghukum pulak para mufassirin dulu sebagai“gender bias.”Berapa ramai yang bila baca Al-Quran terfikir untuk teruih mengamalkan ajaran Al-Quran.

Para muslimat di zaman Rasulullah SAW diriwayatkan bila mana turun ayat surah Al-nur yang menyuruh mereka menutup aurat, dengan rasa penuh keimanan mencari kain-kain di rumah masing-masing untuk menutup aurat. Tak dak la kata nak tunggu kawin dulu la, nak pi haji dulu la baru nak tutup aurat. Ada hat panas telinga ka? Yang suka minum arak, bila mana turun ayat berkaitan pengharaman arak secara mutlak, immediately para sahabat tuang arak dari gelas, yang dok tengah minum boleh pi jolok rengkong (kerongkong) untuk memuntahkan balik arak yang dah minum. Amacam perokok-perokok professional? Ada berani ka? Kalau ada hat panaih (panas) telinga ka atau terasa dengan kata-kata ni, maknanya kita masih ada sekelumit iman walaupun senipis kulit bawang dan masih ada akal yang sempurna untuk berfikir kebaikan kita dunia dan akhirat.

Monday, November 2, 2009

JAIS - MEMALUKAN UMAT ISLAM (CETEK BENAR JAIS)

MALAM tadi pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu dan menangkap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika beliau sedang menyampaikan kuliah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Ampang Selangor.Dr Asri dibawa ke balai Polis Hulu Klang kira-kira jam 12:00 tengah malam dan dibebaskan selepas satu jam kemudian dengan jamin polis.
Tangkapan itu dibuat atas alasan Asri menyampaikan kuliah tanpa mendapat tauliah daripada Jais. Kira-kira 300 orang sedang mengikut kuliah beliau semasa kejadian itu berlaku dan dipercaya majlis itu majlis private. Belum tidak dapat dipastikan apakah motif penangkapan Asri itu sama ada ia berpunca daripada tuduhan beliau seorang penganut faham Wahabi ataupun ada motif politik.
Asri dilihat seorang ulama moden Islam yang mempunyai fikiran terbuka dan progresif. Pandangan atau buah fikirannya juga sering dinanti-nanti oleh orang ramai.Beliau sering diundang untuk memberi ceramah atau kuliah agama di serata tempat termasuk Sabah dan Sarawak. Menurut penjelasannya, beliau memang bermasalah sejak lama dulu dengan kerajaan Selangor (Jais), yang tidak memberi ruang untuk beliau berceramah (agama) di negeri itu.Kerana itu katanya tidak berbangkit soal tauliah kerana semasa menjadi Mufti Kerajaan Perlis beliau tidak dibenarkan untuk berceramah di Selangor.
Beliau mempunyai pengaruh banyak menyebabkan ada golongan politik cuba membujuknya menyertai politik. Bagaimana pun Asri seperti mana dijelaskan buat masa ini beliau masih selesa berada di luar orbit politik bagi membolehkan beliau bebas bercakap dan memberi pandangan menuruti perspekstif ilmunya.
Katanya kedudukan itu juga dirujuk kepada bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang bersetuju kalau beliau menjadi orang ketiga membolehkan beliau bebas bercakap, mengkritik dan memberi pandangan.Dari sudut lain penangkapan oleh Jais itu walaupun Asri mengakui beliau ada masalah dengan Jais kemungkinan ianya untuk memberi imej buruk kepada kerajaan Pakatan Selangor.
Dengan penangkapan itu memberi imej kerajaan Pakatan Selangor cuba menghalang pengembangan agama Islam.Dalam perkembangan lain, Asri dibawa ke pejabat agama Gombak hari ini untuk diambil keterangan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...