KLIK SINI



Bakers1171 - Homemade & Halal


Friday, April 2, 2010

“Syahadah: La ilaha illa'lah Muhammadur-Rasulullah”

Syahadah yang bererti “Tiada Tuhan Melainkan Allah (dan) Muhammad itu Pesuruh Allah” adalah suatu ucapan yang dibuat oleh seseorang untuk memberitahu tentang hakikat yang tersembunyi di dalam jiwanya, berupa keyakinan tentang wujudnya Zat Allah SWT dan bahawasanya Allah SWT itu Esa, tiada Tuhan yang lain daripadaNya.

Apabila seseorang telah menuturkan ungkapan dua kalimah syahadah itu, kita mesti menganggapnya sebagai seorang Muslim yang beriman disisi Allah SWT dan beroleh ganjaran bahagia dari ucapan lidahnya. Dan berlakulah ke atasnya segala hukum yang berkaitan atas seluruh umat Islam dan haknya sebagai Muslim. Kita tidak perlu menyelidiki benar atau tidak benarnya pengakuan itu kerana hal itu adalah berkaitan dengan perasaan dan keyakinan hatinya. Pengakuan ini adalah sesuatu yang bersangkutan dengan urusan Allah SWT yang Maha Mengetahui segala isi hati. Kita bukan penghukum kepada isi hati orang.

Hadith Rasulullah s.a.w di dalam Kitab Bukhari Juz 1 halaman 17 & 18 yang diriwayatkan oleh Saiyidina Anas bin Malik r.a. menyebut:-

“ Akan keluar dari neraka jahanam itu setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya ada kebaikan hanya sebesar biji gandum. Kemudian akan keluar dari neraka setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya ada kebaikan sebesar melukut. Akhir sekali setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah akan keluar dari neraka walaupun ada di dalam hatinya kebaikan sebesar debu “

Allah Azza wajalla berfirman:-

“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua pun) dan akan mengampunkan (dosa) yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya) “
(Surah an-Nisa’: Ayat 116)

Dengan demikian Jumhur Ulama’ secara yakin menyebut bahawa setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya cuma ada kebaikan sebesar debu, ia bukan seorang musyrik, bukan juga seorang kafir. Justeru itu Islam mengharamkan dan berdosa bagi kita untuk memanggil-manggil atau menggelar seorang Muslim lain dengan gelaran musyrik, kafir ataupun lain-lain gelaran yang tidak elok. Gelaran-gelaran sebegini hanya menimbulkan permusuhan dan perkelahian. Kita sendiri tidak suka jika kita, isteri dan anak-anak kita dipanggil dengan gelaran musyrik, kafir, fasiq dan sebagainya. Kita bukanlah manusia maksum yang tidak berdosa. Islam hanya mengharuskan kita membenci perbuatan dosa tersebut bukan orang (sipelaku)nya.

Justeru itu, Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak jemu-jemu menyeru manusia musyrik dan jahilliyyah di zaman mereka kepada kalimah Tayyibah di atas. Ini dilakukan dengan penuh kasih sayang dan pengharapan agar mereka memeluk Islam. Kalaulah Nabi dan para sahabat membenci kaum musyrik , Islam tidak akan berkembang. Islam tidak boleh berkembang dan dikembangkan atas dasar kebencian dan permusuhan. Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak membenci individu. Makhluk yang membenci dan memusuhi manusia hanyalah syaitan dan iblis.

Al-Miqdad bin Amru al-Kindi, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang ikut serta dalam peperangan Badar telah meriwayatkan bahawa beliau telah memberitahu Rasulullah s.a.w.:-

“ Wahai Rasulullah s.a.w.! Hamba telah bertembung dengan seorang kafir lalu hamba pun bertempur. Tiba-tiba dia sempat menetak sebelah tangan hamba lalu putuslah tangan hamba itu. Kemudian sikafir itu menyelamatkan dirinya di sebalik sebatang pokok sambil berkata: Aku masuk Islam kerana Allah SWT. Adakah boleh hamba membunuhnya setelah dia berkata demikian? Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: “Jangan kamu bunuh dia”. Al-Miqdad pun bertanya lagi: Ya Rasulullah, dia menetak putus sebelah tangan hamba kemudian baru dia mengaku masuk Islam. Bolehkah hamba membunuhnya? Rasulullah s.a.w. pun menjawab: “ Jangan kamu bunuh sebab kalau kamu bunuh dia maka taraf dia sama dengan taraf kamu sebelum kamu cuba membunuhnya tadi dan kamu pula mendapat taraf yang sama dengan dia sebelum dia mengucap dua kalimah syahadah itu “
(Al-Bukhari, Juz IX, halaman 3-4)

Abu Dzar al-Ghifari telah meriwayatkan hadith dari rasulullah s.a.w. dimana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:-

“ Ini dia Jibrail datang menemuiku sambil memberitahu begini: “Sesiapa dari kalangan umatmu (Muhammad) yang mati dalam keadaan tidak melakukan syirik kepada Allah SWT akan dapat masuk syurga”. Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Sekalipun dia telah berzina dan mencuri?”. Jawab Rasulullah s.a.w.: “Ya, sekalipun dia telah berzina dan mencuri!”.
(Al-Bukhari Juz VIII, halaman 117-118)

Nas-nas ini yang jelas dan sah datangnya daripada Rasulullah s.a.w. adalah merupakan dalil yang tegas (qat’iy) atas benarnya hukum yang telah disepakati oleh ulama’ muktabar iaitu: Adalah menjadi hukum dan perintah Allah SWT supaya kita memandang dan menganggap setiap orang yang mengucap dua kalimah syahadah itu sebagai seorang beragama Islam (Muslim) dan saudara kita yang sah dan berlaku ke atasnya segala hukum hakam yang berkaitan dengan orang Islam dan hendaklah kita melayaninya dan hak-haknya mengikut lunas-lunas dan garis-garis hukum syari’at Islam. Kita serahkan urusan hakikat hatinya kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui segala rahsia hati manusia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...