KLIK SINI



Bakers1171 - Homemade & Halal


Friday, August 20, 2010

HARI HUDUD KELANTAN:teks ucapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ


سُورَةٌ أَنْزَلْنَاهَا وَفَرَضْنَاهَا وَأَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

-النور : 1

Yang bermaksud : Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).

Alhamdulillah, setinggi-tinggi lafaz syukur kita rakamkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan keizinan daripadaNya, dapat kita bersama-sama berada di dalam Majlis perasmian sambutan Hari Hududulullah negeri Kelantan darul naim untuk kali ini. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan di atas penganjuran sambutan ini. Saya difahamkan majlis ini telah didahului dengan seminar Hukum Sebat di Dalam Islam yang telah bermula semenjak pagi tadi. Sekali lagi tahniah dan syabas kepada pihak penganjur. Saya mulakan dengan serangkap pantun :

Papan tualang mari diukir,

buat penyeri si kayu jati,

siang malam hidup berzikir,

hidup bersendi kehendak rabbi..

Undang-undang hudud merupakan salah satu daripada undang-undang yang difardhukan oleh Allah SWT. Sebagaimana kita wajib bersolat, berpuasa dan mengeluarkan zakat, begitu jugalah wajib untuk kita menegakkan tuntutan melaksanakan undang-undang yang disediakan oleh Allah SWT. Jika kita boleh menerima bahawa di sekolah ada undang-undangnya di mana pelajar perlu mematuhi arahan guru dan pentadbir. Di pejabat ada undang-undangnya di mana pekerja perlu mematuhi arahan majikannya. Di dalam negara ada undang-undangnya di mana rakyat diminta taat patuh kepada pemimpinnya. Maka adakah manusia hidup di dunia Allah ini, tidak dikenakan undang-undang? Sudah tentu lebih daripada itu kerana hidup ini satu urusan yang terlalu sulit dan compilcated sehinggakan di luar daripada kemampuan manusia menguasainya. Siapakah yang berhak menentukan undang-undang hidup di dunia selain daripada pencipta dunia sendiri iaitu Allah SWT? Inilah yang disebut di dalam firmanNya:


إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ يَقُصُّ الْحَقَّ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ – سورة الأنعام : 57

Yang bermaksud : Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.


وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا – سورة الأنعام : 115

Kebenaran itu milik Allah, keadilan juga milik Allah SWT.

Saya dimaklumkan dalam seminar yang diadakan pagi tadi bukan sekadar kertas kerja ada demonstrasi hukuman sebat di dalam Islam. Saya yakin tuan-tuan sekalian telah mendapat pendedahan dan maklumat yang banyak daripada seminar tersebut. Perlulah diingatkan bahawa hukuman sebat merupakan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT. Ayat yang saya bacakan di awal ucapaan tadi merupakan permulaan surah an-Nur. An-Nur memberi makna cahaya. Cahaya matahari, bulan, bintang diperlukan untuk fizikal. Cahaya al-Quran dan al-Sunnah diperlukan untuk rohani manusia:


يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُمْ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ بُشْرَاكُمُ الْيَوْمَ – الحديد : 12

Yang bermaksud : (yaitu) pada hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bergerak dengan cepat di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (Dikatakan kepada meraka): "Pada hari Ini ada berita gembira untukmu

Adapun surah an-Nur itu tadi dimulakan dengan:


سُورَةٌ أَنْزَلْنَاهَا وَفَرَضْنَاهَا وَأَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Yang bermaksud : "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat wahai manusia.

Perhatikanlah bagaimana Allah SWT menggunakan perkataan أَنْزَلْنَاهَا bermaksud Kami turunkan diikuti dengan فَرَضْنَاهَا bermaksud wajibkan hukum-hukumnya dan setusnya أَنْزَلْنَا فِيهَا آَيَاتٍ بَيِّنَاتٍ iaitu Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata. Ketiga-tiga ini dinyatakan secara berturutan dan beriringan. Walaupun kita semua sudah maklum bahawa al-Quran memang diturunkan oleh Allah SWT, dan memang difardhukan hukum-hukumnya oleh Allah SWT dan diturunkan ayat-ayatnya dengan terang dan jelas juga oleh Allah SWT. Bagaimanapun apabila ketiga-tiganya dinyatakan secara berturutan di dalam satu ayat, ia merupakan satu isyarat bahawa betapa seriusnya perintah yang akan dinyatakan selepasnya. Perintah itu ialah hukuman sebat yang merupakan salah satu daripada hukuman hudud. Justeru, diakhirkan ayat tersebut dengan perintah لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ yang bermaksud supaya kamu benar-benar beringat. Beringat ertinya sentiasa pada setiap masa kita hendaklah mengambil ingatan bahawa perintah-perintah yang mengandungi hukuman-hukuman tersebut telah ditetapkan oleh Allah SWT dan akan disoal olehNya di padang Mahsyar kelak.ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ


Allah SWT berfirman selepas ayat 1 Surah an-Nur tersebut:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ – النور أية 2

Yang bermaksud : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Hudud bukanlah bererti hukuman sebat dan potong tangan semata-mata. Malangnya wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat seringkali tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna batasan. Setiap apa yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah SWT itulah yang dinamakan batasan. Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa yang dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar hududullah. Al-Quran menyebut perkataan hudud bukan sahaja di dalam bab jenayah, tetapi dalam masalah peraturan rumahtangga dan nikah cerai. Allah SWT berfirman:


وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آَتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ – سورة البقرة أبة 229

Yang bermaksud : Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang telah diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri ) takut tidak dapat menegakkan hudud Allah yakni aturan-aturan hukum Allah.


Di dalam masalah pembahagian harta pusaka, turut disebut perkataan hudud. Firman Allah SWT:
فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَى بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ وَصِيَّةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ (12) تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ... –سورة النساء أية 12-13

Yang bermaksud: Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). Ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. Itulah hudud (batas-batas Syariat) Allah.

Hari ini negara sedang berada pada keadaan yang sangat memalukan. Kita sering kedengaran berlaku rasuah, penyelewengan dan pecah amanah semakin meningkat. Peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahap sangat-sangat membimbangkan, ditambah lagi dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian di negara kita. Kes-kes buang bayi pula semakin membimbangkan di mana ia meningkat 154%, dengan 54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama tahun lalu. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain.

Kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masalah inni? Tidak lain hanyalah kerana undang-undang yang ada tiada kemampuan untuk pencegahan. Undang-unadang yang dicadang oleh Allah SWT itulah yang merupakan satu pencegahan. Firman Allah SWT:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ – سورة المائدة: 38
Yang bermaksud : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Kita di Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam sudah lama menyedari hakikat ini. Di antara maksud Membangun Bersama islam ialah :

1) Mendidik, mentarbiah qalbu manusia supaya bertaqwa kepada Allah SWT sejak kecil-kecil lagi sampai ke peringkat remaja dan terus kepada meningkat dewasa.

Bayi di atas riba diperdengarkan bismillahir Rahmanir Rahim setiap kali susuan dilakukan. Yang terbaik lagi ibu perlu berwudhuk sebelum susuan dilakukan. Nama Allah, nama al-Rahman, nama al-Rahim, adalah suntikan ajaib untuk mengukir berkat dan qudus ke atas qalbu bayi yang baru mengenali alam dunia. Tidak ada doktor, tidak ada alat canggih yang boleh mengesan seni Asmaul Husna ke atas qalbu bayi.

2) Bila anak memasuki alam persekolahan, guru pula mencambah, membajai benih-benih yang telah ditabur oleh golongan ibu di rumah tadi. Dan bila mereka melepasi alam persekolahan dan memasuki alam pekerjaan, menjadi rakyat, bergerak dalam semua bidang hidup, pihak kerajaan pula menyambung, membimbing, dan melaksana segala benih yang ditabur di rumah, dan di sekolah, supaya ianya berubah dan mendatangkan hasil yang memenuhi kehendak : iman dan taqwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ – سورة الأعراف، أية 96
Yang bermaksud : Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.

Adalah mendukacitakan sangat-sangat kerana kita yang pandai-pandai menolak pencegahan daripada Allah SWT. Bagaimana rakyat mahu menjaga batas sekiranya kerajaan yang berkuasa sendiri tidak mempedulikan batas hududullah sendiri? Bila kerajaan melanggar hudud Allah, dengan sendirinya rakyat hidup tanpa batas. Di sana sini berlaku pelanggaran terhadap hudud Allah SWT dengan sewenang-wenangnya.

Tersebarnya gambar-gambar dan video yang merosakkan melalui media massa maupun internet dan disaksikan oleh anak-anak muda kita setiap hari semakin mendekatkan mereka kepada gejala keruntuhan moral dan akhlak. Lantas dengan kudrat yang ada, kekangan undang-undang dan kewangan, kita di Kelantan telah melakukan setakat yang termampu untuk meletakkan Islam sebagai syariah yang memerintah bukannya diperintah. Lahirlah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan pada tahun 1993 hasil sumbangan idea dan garapan beberapa tokoh undang-undang yang terkenal seperti Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmud Saidun Awang Osman dan beberapa nama-nama yang lain. Namun, sekeping surat bertarikh 8 Jun 1994 daripada Perdana Menteri Malaysia pada masa itu kepada Menteri Besar Kelantan telah menghalang hasrat murni kerajaan negeri Kelantan ini.

Kita tidak pernah berputus asa. Apa yang mampu untuk kita laksanakan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan dilaksanakan. Kita membataskan penjualan arak, mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel dan banyak lagi perubahan yang telah kita perkenalkan yang kesemuanya bersumberkan dari ajaran al-Quran.

Untuk memastikan kewajipan menutup aurat terlaksana, kita mewajibkan mana-mana papan iklan hanya menayangkan gambar yang menutup aurat, kita juga mewajibkan para peniaga beragama Islam di premis-premis perniagaan berpakaian menutup aurat selain turut mewajibkan kakitangan kerajaan yang beragama Islam menutup aurat dengan sempurna. Manakala bagi yang tidak beragama Islam, kita pohon supaya dapat berpakaian dengan baik dan sopan. Semua ini bagi memastikan suasana sekitar tidak tercemar dengan amalan pendedahan aurat yang menyebabkan berlakunya seks bebas dan zina. Apa yang mampu kita lakukan mengikut bidang kuasa kerajaan negeri sudah kita laksanakan. Selebihnya terletak pada bahu kerajaan pusat kerana kita menghormati konsep federalisme. Tepuk dada tanya iman.

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JAHEIK di atas kejayaan menganjurkan sambutan hari hududullah pada tahun ini. Semoga dengan penganjuran ini, kita sentiasa mengingatkan rakyat Kelantan khususnya bahawa kewajipan melaksanakan dan menjaga undang-undang Allah SWT sentiasa terpikul setiap masa. Semoga setiap amalan kita mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.


Artikel di atas adalah teks ucapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan pada 9 Ramadhan 1431H bersamaan 19 Ogos 2010 di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...